Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Januari

Terowong Genting Sempah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan ditutup selama 9 jam sehari untuk memberi laluan pada kerja penyelenggaraan, bermula 10 Januari ini. ANIH Berhad, pemegang konsesi lebuh raya itu, dalam satu kenyataan berkata, laluan kenderaan dalam Terowong Genting Sempah akan ditutup mulai jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari selama 60 hari. Katanya, laluan dalam terowong dibuka mulai jam 6 petang hingga 7 pagi.

“Fasa pertama penyelenggaraan pada 10 Januari hingga 16 Februari membabitkan arah Kuala Lumpur manakala kerja bagi arah Kuantan bermula 20 Februari hingga 22 Mac. “Laluan kontra akan diaktifkan sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan terowong,” katanya. ANIH Berhad berkata, kerja penyelenggaraan akan dihentikan pada cuti musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam. Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mematuhi papan tanda dan arahan petugas di lokasi.

Pengguna turut dinasihatkan melayari medium komunikasi sosial seperti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta perkembangan lain di sepanjang jajaran KLK dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1.

Leave a comment